Monday, May 30, 2016

Maufakat bersama penjaga calon UPSR

Tahun ini SK Ng Ju, Julau mengetengahkan 4 orang calon untuk UPSR. Satu majlis permaufakatan antara penjaga telah diadakan. Bukan sahaja nasihat dan cadangan telah dikongsikan untuk meningkatkan pencapaian murid-murid tetapi guru dan penjaga telah berkongsi pandangan secara peribadi dalam membantu murid-murid yang memiliki pelbagai tahap kecerdasan. Majlis pada hari tersebut berjalan dengan lancar walaupun tidak melibatkan ramai ibu bapa dan penjaga.

Kita berharap segala yang dikongsikan dapat membuka minda masyarakat setempat tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Kita juga berharap agar proses pembelajaran murid-murid tidak hanya berlaku di sekolah sahaja tetapi dapat diteruskan di rumah mereka. Semoga pencapaian tahun ini dapat membawa sekolah melonjak cemerlang. Sekian.

Pra Gawai

SK Ng Ju, Julau. Pra Gawai merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan dengan bantuan komuniti sekitar sekolah yang melibatkan masyarakat rumah panjang. Mereka juga terdiri daripada ibu bapa dan penjaga murid-murid di sini.

Pada siang hari banyak program dijalankan. Program tersebut biasanya berunsurkan sukan dan permainan. Penglibatan pada tahun ini sangat meriah jika dibandingkan dengan dua tahun sebelum ini. Murid-murid kelihatan sangat seronok apabila melihat ibu bapa dan penjaga mereka hadir memeriahkan program pada hari tersebut.

Pada sebelah malamnya pula, majlis makan malam sempena Pra Gawai dijalankan di dewan PIBG. Pada waktu itu juga pasukan yang memenangi program pada siang hari tadi akan diberi hadiah. Aktiviti seperti cabutan bertuah dan memotong kek merupakan kewajipan kerana ia antara cara yang dapat mendatangkan pendapatan untuk PIBG. Hasil kutipan tersebut digunakan untuk membiayai perjalanan dan program yang melibatkan murid-murid di luar kawasan sekolah.

Tahun ini merupakan tahun yang amat meriah dan sangat baik. Kutipan pada hari tersebut diluar jangkaan. Stok minuman ringan juga tidak mencukupi kerana sambutan amat menggalakkan. Kemuncak kepada program ini adalah nyanyian lagu sponsor. Nyanyian ini juga telah membuat kutipan yang banyak dan dapat membantu sumber kewangan PIBG.

Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada pihak sekolah dan juga ibu bapa serta penjaga kerana telah memeriahkan dan menjayakan program Pra Gawai pada tahun ini. Sekian.

Wednesday, May 18, 2016

Persediaan Pra Gawai

Hari Gawai merupakan perayaan yang sangat sinonim di Sarawak dengan penduduk asalnya disini iaitu orang Iban. Kementerian telah menjalankan program RIMUP di pelbagai peringkat sekolah. Program ini mengintegrasikan pelbagai kaum di bawah satu bumbung dunia pendidikan.

Ini merupakan satu daripada proses dan usaha kerajaan untuk membentuk negara bangsa. Negara bangsa yang kita idamkan hanya dapat dibentuk dari akar umbi pendidikan awal kanak-kanak. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, guru memainkan peranan yang penting untuk mempelbagaikan aktiviti di sekolah agar pendedahan berkonsepkan aktiviti budaya setempat dapat membuka minda murid-murid dan juga pegawai yang berlainan agama dan bangsa.

Sememangnya kita sebenarnya tergolong dalam satu bangsa. Bangsa yang saya maksudkan adalah bangsa Malaysia.

Berikut merupakan beberapa keping gambar yang menunjukkan beberapa orang pegawai sedang menyediakan piala untuk keramaian Pra Gawai yang bakal diadakan di SK Ng Ju, Julau. Sekian.Editor.

Sumber gambar: En.Amin @ Mamin Bin Chek. GB SK Ng Ju.

Wednesday, May 4, 2016

Lawatan KKM. Edisi Gigi.

Bulan ini kita telah dilawati oleh KKM. Kali ini mereka bukanlah untuk merawat pesakit di sekitar kampung ini tetapi bertujuan untuk membantu pegawai di sekolah ini dalam memberi didikan awal penjagaan gigi.

Seringkali kita abaikan penjagaan gigi di peringkat awal usia. Cara memberus dan kekerapan menggosok gigi juga sering kita abaikan juga. Kehadiran mereka di sini membuatkan komuniti sekolah berasa sungguh gembira dan dan kami juga berasa terharu kerana masih ada pihak yang komited untuk membantu sekolah pedalaman.

Terima kasih atas sokongan dan bantuan dari semua pihak termasuklah pengurusan dan pibg yang menyambut pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi yang memberi bantuan secara langsung ataupun tidak langsung kami ucapkan jutaan terima kasih juga.

Tuesday, May 3, 2016

Guru Baru Yang Rajin

Salam salam sejahtera diucapkan kepada semua yang membaca blog sekolah dari hulu ini. SK Nanga Ju, Julau telah mengalami banyak pergerakan pegawai pada tahun 2016. Cikgu Jason merupakan guru baru yang datang menggantikan beberapa orang guru yang telah berpindah pada awal tahun 2016.

Guru Yang Berpindah:
→ Cikgu Casey
→ Cikgu Simon July
→ Cikgu Roy

Selamat datang diucapkan kepada cikgu Jason yang ditugaskan untuk kali pertamanya dalam hidup beliau sebagai seorang guru. Beliau merupakan seorang guru yang komited dan berpegang teguh dalam prinsip kerohanian beliau.

Beliau telah diberikan tugas untuk menyambung kerja guru pusat sumber yang telah berpindah ke sekolah lain. Usaha beliau amat dihargai oleh masyarakat setempat dan komuniti sekolah. Kita berharap beliau akan terus berusaha membantu masyarakat pedalaman khususnya komuniti sekolah ini untuk mencapai kecemerlangan.

Editor yakin bahawa SK Nanga Ju, Julau memiliki banyak peluang tahun ini. Editor mendoakan tahun 2016 merupakan satu tahun yang gemilang. Sekian.

Monday, May 2, 2016

Ceriakan Pra Sekokah

Walaupun jumlah murid di sekolah ini tidak besar yang tidak akan menjadi alasan untuk pegawai yang berkhidmat di sini untuk melakukan yang terbaik. Keadaan bilik kelas merupakan faktor yang mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran. Bukan sahaja guru yang berasa senang dan mudah menjalankan tugas tetapi murid juga berasa selamat serta tenteram.

Prasekolah merupakan asas kepada murid sebelum mereka melangkah ke kelas perdana. Jatuh tumbang sesebuah sekolah biasanya ditentukan oleh kualiti murid yang dihasilkan di peringkat prasekolah.

Biji benih yang baik jika ditabur ke mana-mana tanah akan tumbuh jua. Diibaratkan seperti air juga jika dituangkan ke dalam bekas yang pelbagai bentuk ia akan meniru bentuk bekas itu. Begitulah murid-murid yang ingin kita hasilkan pada awal usia mereka.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sememangnya prasekolah memainkan peranan yang sangat penting untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran mereka di kelas perdana kelak. Sekian.

Cik Noraini bersama anak jagaannya. Seorang PPM yg sangat komited.

Wednesday, April 13, 2016

Pertandingan Bercerita BI

Pertandingan bercerita bahasa inggeris telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Ng Babai. Kita telah menghantar seorang peserta untuk mewakili Sekolah Kebangsaan Ng Ju, Julau. Tahun 2016 merupakan tahun kebangkitan sekolah ini. Kita telah menyertai banyak program yang diadakan di peringkat daerah dan ia merupakan satu perkembangan yang bagus untuk sebuah sekolah yang kecil. Kita mendoakan segala yang terbaik untuk kecemerlangan sekolah pedalaman ini.

Dari Atas Langit

SK Nanga Ju, Julau is a small school. Kerajaan tidak pernah lupa akan kepentingan pendidikan untuk masyarakat pedalaman di Sarawak. Sekolah ini merupakan bukti komitmen kerajaan yang sentiasa membantu rakyat untuk terus maju dan keluar dari dunia kemiskinan. Mungkin masyarakat di sini tidak merasakan kehidupan mereka miskin tetapi di mata kerajaan mereka merupakan masyarakat yang perlukan perhatian terutamanya dalam membentuk masyarakat yang moden.

Sekolah ini tidak memiliki banyak kemudahan seperti sekolah sekolah di bandar. Pegawai-pegawai yang berkhidmat di sekolah ini mencuba yang terbaik untuk memberi perkhidmatan untuk masyarakat dan anak bumi kenyalang di dunia pedalaman.

Seramai 29 orang murid telah didaftarkan pada awal januari 2016. Seramai 13 orang guru telah ditempatkan di sekolah ini.

Kedudukan sekolah ini yang berhampiran dengan hutan simpan santuari hidupan liar menjadikan ia merupakan sebuah sekolah yang menarik untuk dikunjungi. Namun tidak ramai yang sengaja untuk melancong atau menikmati suasana di sekolah ini kerana perjalanan melalui sungai untuk tiba ke sekolah ini memakan masa sekitar 4 hingga 9 jam bergantung kepada cuaca dan keadaan air.

Berikut merupakan gambar-gambar yang telah diambil oleh paramedic udara Kementerian Kesihatan Malaysia. Gambar ini telah dikongsikan oleh guru besar di dalam group whatsapp sekolah. Thanks Cikgu Amin @ Mamin Bin Chek.

- Penulisan santai.
- Bahasa pasar.

Monday, April 11, 2016

Catur ke SMK Sarikei Baru


SK Nanga Ju telah menghantar 2 orang wakil ke SMK Sarikei Baru pada 12 Mei 2016 untuk mewakili Sekolah. Diiringi PK-KK Cikgu Dony anak Jangan dan Cikgu. Miera. 

Sunday, March 6, 2016

Suasana kelas semasa minggu ujian

Suasana Minggu Ujian Bulan Mac. Berikut merupakan keadaan kelas semasa minggu ujian. Guru membimbing murid sebelum memulakan ujian. Kebanyakannya menggunakan format baru. Format KSSR merupakan format yang menguji semua kemahiran murid dalam sesuatu matapelajaran dengan menerapkan soalan berfikir aras tinggi.

Minggu ujian

7 / 03 / 2016 - Minggu ujian sedang dijalankan di SK Nanga Ju, Julau selama 3 hari bermula pada hari ini. Semua kelas telah disusun menurut susunan bilik / dewan peperiksaan. Dalam 1 hari Sekolah menjalankan 3-4 kertas untuk ujian.

Wednesday, March 2, 2016

Lawatan KKM Klinik Maong

15 Februari 2016 - satu lawatan telah dijalankan oleh klinik Maong. SK Nanga Ju merupakan sekolah yang paling jauh di daerah ini untuk mereka lawati dan bantu. ia merupakan program tahunan yang mengandungi beberapa tujuan untuk meningkatkan kualiti kesihatan murid.

Suasana perhimpunan Februari

Inilah suasana perhimpunan pada bulan Februari. Suasana redup menandakan musim hujan belum tamat.

Perbentangan Kertas Kerja Kembara Kokurulikukum dan Kurikulum

Satu perbentangan telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Nanga Ju. Pembentangan ini dijalankan di Dewan makan. Cikgu Dony anak Jangan selaku PK-KK telah melaksanakan tanggungjawab tersebut. Kertas kerja ini merupakan satu harapan buat pihak sekolah untuk meningkatkan prestasi akedemik murid. Ia merupakn aktiviti yang bakal melibatkan pihak pejabat pendidikan daerah dan PIBG.

Sunday, February 28, 2016

Konvoi di musim hujan

Hari ini kami telah berkonvoi masuk ke sekolah. Ternyata cuaca tidak menyebelahi kami pada hari ini. Suasana hangat dari Pasar Pakan akhirnya dihiasi hujang selang seli sepanjang laluan dari jalan Entabai ke bukit Seri.

Untuk masuk ke SK Nanga Ju pada hari ini.kami memerlukan masa yang lebih panjang disebabkan laluan yang amat licin. Kami berkonvoi untuk memastikan semua pegawai selamat dan tiada yang terkandas. Syukur kerana perjalanan hari ini berjaya sampai ke destinasi.sekian.

Portal Kementerian Pendidikan Malaysia

e-Operasi

Catatan Popular